Saturday, June 28, 2008

KE MANA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa `suasana' negara ini selepas hampir dua bulan pilihan raya umum berlalu masih tetap tidak `menggembirakan' sebagaimana diharapkan sebelum pilihan raya.
Meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan masing-masing, hakikatnya rakyat mendapati kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang menekan mereka selama ini, masih tidak dapat diatasi.
Sebutlah - petrol, susu, minyak masak, coklat, tepung, gula, Milo, roti, Nescafe, teh, sayur-sayuran, ikan, ubat gigi, pencukur, bateri jam dan apa sahaja yang menjadi keperluan, sama ada harganya dikawal atau tidak, naik belaka.
Kenaikan harga juga melibatkan barang-barang binaan seperti simen, kayu, pasir, besi dan keluli yang tentunya menyesakkan nafas kontraktor kelas F untuk meneruskan survival dalam industri sekali gus menjejaskan kelancaran pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Namun keadaan semakin membimbangkan kebelakangan ini kerana kenaikan harga turut melibatkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini sedang kita memiliki jelapang padi di Kedah dan Selangor.
Suasana semakin mengecewakan apabila kita mendapati ahli-ahli Parlimen yang memulakan sidang mereka di Dewan Rakyat minggu lalu langsung tidak menyentuh soal kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang semakin menekan.
Sukar untuk dipercayai apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang memulakan `perbahasan' dengan mempertikaikan isu remeh-temeh yang tiada kena mengena dengan usaha membela nasib rakyat tidak kira di bandar mahupun di luar bandar.
Melihat gelagat pembangkang itu kita boleh berfikir sendiri, bahawa, kalau kita susah, janganlah diharap pada mereka yang sudah `senang' untuk menyelesaikan masalah kita.
Di pihak kerajaan pula, pelbagai langkah dan dasar telah diumumkan untuk membendung kenaikan harga misalnya penubuhan Majlis Harga Kebangsaan, pemberian subsidi minyak petrol dan sebagainya, namun keadaan nampaknya tidak berubah.
Di kalangan menteri-menteri sendirinya kelihatannya mereka `seakan-akan buntu' untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup yang sudah tidak dapat disekat-sekat ini.
Sekadar contoh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad sekadar menyeru rakyat supaya berjimat makan nasi berikutan kenaikan harga beras sekarang.
Sekadar bertanya, kalau berjimat sangat makan nasi, anak-anak mungkin kekurangan zat. Dalam jangka panjang, tidakkah ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka ?
Dalam pada itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad kelihatannya masih belum muncul dengan idea-idea `cukup bernas' untuk menangani masalah rakyat sekarang.
Suka atau tidak, beliau perlu mencontohi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian tersebut sebelum ini yang rajin turun padang untuk menangani masalah harga barangan walaupun ia hanya turun lima sen.
Kenyataan terbaru Shahrir bahawa bekalan makanan belum sampai ke tahap krisis sehingga memerlukan kerajaan mengambil langkah drastik seperti memperkenalkan sistem kouta juga dikhuatiri menambah lagi rasa tidak selesa rakyat.
Ini kerana seperti pelbagai kenyataan daripada pelbagai pihak bagi menangani masalah kenaikan harga, kenyataan terbaru beliau itu tidak lebih sebagai satu lagi koleksi dan bukti kepada rakyat bahawa semua pihak termasuk kerajaan sendiri gagal menyekat kenaikan harga barang.
Entah di mana silapnya, kenaikan harga barang sekarang kelihatan langsung tidak menyentuh peranan orang tengah atau pemborong sebagaimana sebelum ini golongan tersebut sering menjadi sasaran setiap kali berlaku kenaikan harga barang.
Malah kebelakangan ini juga kita mendapati persatuan-persatuan pengguna langsung tidak kelihatan memainkan peranan dalam membantu nasib pengguna.
Sebagai contoh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memang sudah hilang taringnya sejak ia tidak diterajui oleh Profesor Hamdan Adnan yang kini menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Begitu juga dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, peranan mereka langsung sudah dapat dilihat dalam membela nasib rakyat yang kini menghadapi tekanan kos sara hidup yang bukan sedikit.
Tidak bolehkah persatuan pengguna, kerajaan, pengilang dan pembekal atau pemborong mengadakan pertemuan bersama bagi menangani masalah yang berlaku sekarang ? Kita percaya jalan penyelesaian akan ditemui jika mereka semua duduk berbincang bagi menangani masalah.
Di Selangor, kerajaan pembangkang yang beria-ia hendak membantu rakyat sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya juga gagal melaksanakannya.
Yang terbaru mereka mengakui tidak boleh menurunkan cukai taksiran tahunan sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial kerana ekonomi Selangor kurang memuaskan sedangkan mereka memerintah Selangor Negeri Maju.
Janji mereka hendak memberikan air percuma bagi 20 meter padu pertama bernilai kira-kira RM11 ringgit bermula Jun ini, belum tentu terlaksana kerana ada perkara-perkara yang menghalangnya.
Jika semua pihak nampaknya menghadapi kesukaran untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, di mana lagi mereka hendak mengadu ?
Kita di peringkat pengguna memang boleh berjimat, mengubah gaya hidup, menanam sayur secara hidroponik dan sebagainya tetapi orang miskin bagaimana ?
habis

Bendung tsunami kenaikan harga minyak

SUKA atau tidak, ramai di antara kita masih terkedu akibat `tsunami' penghapusan subsidi minyak petrol dan diesel di pasaran baru-baru ini yang menyebabkan harga bahan bakar itu melonjak tanpa ampun.
Akibat kenaikan harga minyak itu, `pemandangan' di lebuh-lebuh raya di Lembah Klang yang `berselirat' turut berubah apabila kenderaan kecil kini membanjirinya kerana kenderaan besar terpaksa ditinggalkan di rumah.
Tiada lagi istilah bawa kenderaan besar di pejabat hanya untuk `suka-suka' sebagaimana dahulu kerana tiada siapa sanggup membakar `wang' RM20 sehari untuk perjalanan pergi-balik 50 kilometer kecuali orang banyak duit atau terpaksa.
Tapi itu cerita bagi mereka yang bertuah dapat hidup demikian di bandar besar.
Kerajaan sebenarnya perlu memikirkan secara serius bagaimana hendak menangani masalah kenaikan kos sara hidup ini dengan bijaksana bagi manafaat sebahagian besar rakyat berpendapatan rendah tidak kira di bandar mahupun di luar bandar yang kini berhadapan dengan masalah penurunan mendadak ke atas kuasa beli barang di pasaran.
Ini kerana kenaikan harga minyak menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus jatuh miskin manakala yang miskin terus jadi miskin tegar sejurus minyak petrol dan diesel dengan harga masing-masing RM2.78 sen dan RM2.58 sen dikuatkuasakan.
Di bandar besar, sebahagian besar mereka yang jatuh miskin dalam masa `semalaman' ini terdiri daripada kakitangan kerajaan sendiri serta pekerja-pekerja kilang yang selama ini gaji mereka yang `entah berapa ratus' dan RM1,000 lebih sedikit.
Kebanyakan mereka yang bekerja sebagai pelayan pejabat, kerani, pemandu, pemungut sampah, operator kilang dan seumpamanya turut memainkan peranan penting dalam memakmurkan negara ini.
Fikirkan, tiada barang boleh dieksport tanpa pemandu, tiada surat boleh dipos tanpa posmen, tiada tuntutan boleh dibuat tanpa kerani, busuklah Kuala Lumpur tanpa pekerja Alam Flora dan tidaklah Malaysia muncul sebagai pengeluar mikrocip terbesar di dunia tanpa operator kilang.
Operator kilang bekerja secara giliran, siang malam, jika bekerja kutip sampah, awal pagi lagi mereka sudah bersihkan Kuala Lumpur, manakala kerani pula `ibu-ibu' kita pagi-pagi lagi sudah bangun memasak untuk anak-anak yang akan ke sekolah sebelum bekerja.
Oleh itu, mulai hari ini marilah kita semua golongan sederhana dan mewah terutama ahli-ahli Parlimen yang kini bersidang - bersimpatilah dengan nasib mereka dengan mencari jalan bagaimana untuk membolehkan mereka mendapat gaji minimum RM900 sebulan atau RM1,500 sebulan.
Dalam hubungan ini kerajaan tidak seharusnya memandang sepi terhadap tuntutan tersebut kerana mereka sudah tidak tertanggung lagi dengan kenaikan kos sara hidup sekarang yang tidak setara dengan pendapatan mereka.
Golongan ini mesti dibantu dengan apa cara sekalipun sebelum mereka `menjatuhkan' hukuman lebih buruk pada pilihan raya umum ke-13.
Cara terbaik ialah kerajaan duduk semeja dengan persatuan-persatuan pengusaha kilang dan majikan untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya menolak tuntutan mereka mentah-mentah - bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Kerajaan juga perlu memikirkan cara untuk mengurangkan secara drastik, jumlah pekerja asing di negara ini demi kepentingan rakyat kita sendiri yang akan jadi pengundi dalam pilihan raya umum.
Mengapa kita benarkan begitu ramai pekerja Bangladesh, India, dan Nepal bekerja di kilang dan restoran sedangkan ramai rakyat kita boleh bekerja di tempat mereka ?
Kedai gunting rambut di taman-taman perumahan pun diusahakan oleh `rakyat India'? Sekadar bertanya, siapa di sebalik mereka?
Rakyat sudah jemu mendengar alasan kononnya rakyat tempatan tidak mahu bekerja di tempat kotor, gaji rendah dan pelbagai alasan muluk-muluk.
Mereka sebetulnya mahu melihat `kecerdikan' menteri-menteri dan timbalan menteri untuk menangani masalah berkenaan dengan memastikan jika rakyat tempatan diambil bekerja, gaji setimpal hendaklah ditawarkan.
Cari jalan bagi mengatasi masalah kononnya dengan menawarkan gaji minimum, pelabur-pelabur asing lari ke China dan India. Pergilah berunding dengan kerajaan China dan India untuk semua pihak saling beroleh keuntungan dalam konsep memakmurkan antara satu sama lain.
Dan kerajaan pula janganlah hendaknya mendengar cakap pengusaha kilang dan majikan semata-mata kerana mereka pun belum tentu mengundi Barisan Nasional (BN) ? Pilih yang mana satu kerajaan mahu!
Apapun, titik mula bagi usaha secara serius dalam menangani masalah kenaikan kos sara hidup ini akan dapat digambarkan apabila Bajet 2009 dibentangkan pada September ini.
Dalam hubungan ini, pandangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dalam blognya http://www.drkhir.com/ mengenai usaha menangani kemelut yang melanda negara sekarang amat wajar diberi pertimbangan.
Menurutnya, buat masa ini yang penting adalah bagaimana kerajaan perlu berusaha mengatasi masalah inflasi dengan melihat mid-term review budget sebagai satu jalan keluar untuk menyelesaikan krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Katanya, mid-term review yang sekarang sedang dijalankan haruslah berupaya mengurangkan tekanan hidup rakyat; kos hidup mesti dikurangkan, kemudahan awam seperti pengangkutan awam dan lain-lain hendaklah ditingkatkan.
Beliau menambah, ahli Parlimen wajar melihat mid-term review ini sebagai asas ke arah menyelesaikan masalah rakyat dengan cadangan yang bernas dan menurutnya lagi, mereka perlu menggunakan peluang ini kerana ia tidak selalu berlaku.
Mengambil kira kesengsaraan yang ditanggung oleh segenap lapisan rakyat yang terpaksa menelan ubat penarikan subsidi minyak yang sangat pahit itu, maka sudah sewajarnya kerajaan mengambil langkah tuntas bagi membantu golongan miskin tegar dan miskin baik di luar bandar mahupun di bandar.
Sudah kedengaran di sana-sini kakitangan kerajaan berharap bonus dua bulan dapat diberikan kepada mereka tahun ini. Kakitangan swasta yang berpendapatan sederhana mahu kerajaan mengurangkan cukai pendapatan atau hapuskan terus!
Mereka juga mahu kerajaan hapuskan cukai jalan yang di negara-negara lain, setiap pengguna hanya dikenakan sekali cukai jalan seumur hidup sedangkan kita pula `selagi kita hidup'.
Rakyat juga ternanti-nanti bila kadar tol lebuh raya di Lembah Klang yang berselirat ini akan dikurangkan.
Jika kerajaan berjaya melakukannya, kita yakin rakyat juga dapat menerima hakikat bahawa kos sara hidup yang rendah dan pernah dinikmati sedekad lalu dalam lipatan sejarah.
Ia akan kekal sebagai sejarah yang tidak akan berulang lagi untuk kita semua.

Wednesday, June 18, 2008

PANAS...PANAS

Politik negara memang betul-betul tak stabil sekarang apabila tiba-tiba Yong Teck Lee umum SAPP tak percaya Paklah. Tak tahu apa nak jadi di Parlimen Isnin ini. Terbaliklah negara kita.

Wednesday, June 11, 2008

KENAPA PERLU TERGESA-GESA

Saya melihat Perdana Menteri tergesa-gesa mengumumkan di Putrajaya bahawa harga minyak kekal tahun ini walau apa pun terjadi. Beliau juga berkata, gaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos untuk mudahkan aliran tunai rakyat. Baguslah, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban rakyat.
Saya tertanya, apa nak cakap hargaminyak tak naik lagi sebab ia dah naik pun dan kita semua terasa bebannya bukan main. Dipendekkan kata, kerajaan naikkan harga minyak sekali gus menyebabkan rakyat tertekan. Stop.
Pada waktu yang sama - petang juga - Menteri Besar Selangor umumkan semua pihak KDEB, Syabas dan kerajaan negeri telah bersetuju dengan terma untuk memberikan air secara PERCUMA - walaupun 11 ringgit sahaja.
Dipendekkan kata, ketika kerajaan Pusat naikkan harga bahan api, kerajaan negeri pembangkang legakan rakyat dengan bagi air percuma. Walaupun sikit, saya percaya rakyat berterima kasih. Dan saya dapati pembangkang bijak menggunakan strategi memikat hati rakyat. Dengar khabar di Selangor, kerajaan dalam diam-diam benarkan sesiapa sahaja berniaga di mana-mana asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam. Mereka bagi peluang kepada rakyat cari rezeki tanpa perlu terikat dengan kerenah birokrasi yang bukan-bukan.

Monday, June 9, 2008

HABISLAH MALAYSIA

Cukup saya tidak menyangka begini jadinya Malaysia di tangan Paklah sekarang. Saya fikir pada pilihan raya umum ke-13 pada 2011/12, tamatlah riwayat BN untuk selama-lamanya dan kerajaan negara ini akan berubah ke tangan pemerintahan yang lain dan kita tidak tahu siapa.

Memang kerajaan sudah gila. Naikkan minyak sampai RM2.70 seliter bagi kita yang gaji satu keluarga dekat RM10,000 bolehlah tanggung. Tetapi apa nak jadi dengan penghuni setinggan, orang kampung dan miskin, pekerja kilang gaji bawah 1,000 nak makan apa Pak lah?

Awak suruh rakyat berjimat. Jimat kepala hotak. Awak tu semua dalam kerajaan masih bermesyuarat dalam keadaan mewah, duduk di istana kayangan macam-macamlah semuanya mewah macam Mufti Perlis tulis dalam ruangan di Mingguan Malaysia. Saya tabik tulisan dia hentam kerajaan habis-habisan, dia tahu risikonya, tak apa, mati pun masuk syurga.

Okaylah saya tulis tak ada fokus, saja nak borak. Kalau macam ini gayanya, terus-terang BN-UMNO-MCA dan 12 lagi parti komponen sememangnya sudah tidak relevan lagi di mata rakyat. MIC macam mana ? Langsung tak relevan. Kuburnya di Sungai Gangez sekarang. MIC dah mati.

Melaka dulu 100 tahun sahaja. Buka 1400, 1511 jatuh ke tangan Portugis. Saya takut betul sekarang, 1957 kita merdeka selepas dijajah 450 tahun, baru 50 tahun merdeka, pada 2011 ===nak sama====1511/buat pilihan raya ke-13 ---angka kegemaran PM Hadari, negara ini terlepas semua sekali ke tangan pembangkang. Minta dijauhkan Allah.

Saudara fikir begini: 1511 - Melaka jatuh ke tangan Portugis
2011- Pilihan raya umum Ke-13 (angka kegemaran Paklah) - BN tumbang 100 peratus !

2011-1511=500 tahun. 1957-1511=446 tahun=lebih kurang 500 tahun.

Apakah segala yang berlaku rentetan daripada sebelum pilihan raya dan selepas pilihan raya, ia sebenar menjurus kepada satu keadaan negara kita akan terjajah sekali lagi ? Minta dijauhkan malaikat.

Daripada dulu sampai sekarang, hanya Kelantan di tangan pembangkang, 2008, lima lagi negeri jatuh ke tangan pembangkang, tidak lama lepas itu, Pulau Batu Putih terlepas, ini semua simbolik kepada benda yang jauh lebih buruk mana kita tahu, Tuhan bagi hinnnn.

Mahathir kata kita banyak duit tetapi kenapa rakyat makin susah. PM kita katanya alim betul tetapi kenapa Allah bagi negara ini tunggang-langgang ? Kenapa kenapa kenapa. Apa nak jadi ni.

Takutnya aku dengan negara ini. Dengar khabar masa mesyuarat MT di Shah Alam, ahli-ahli MT ternampak replika mayat...di dalam Tasik Shah Alam....wahuAllahualam, tak tahu betul tidak. Kalau betul itu tanda orang Melayu betul-betul marah...

Saya terbaca blog YB Ron, dia punya idea lagi jauh bahawa apa yang berlaku sekarang merupakan mainan Amerika terhadap kita yang hendak menguasai minyak dan gas yang ada di bawah bumi kita.

Kenapa pada zaman Paklah kapal perang Amerika dibenarkan lalu di Selat Melaka dan secara kebetulan, tidak lama selepas dia lalu, berlaku gempa bumi ? Dalam kapal itu ada nuklear, ada ke benda lain benda-benda pengintip yang kita tak tahu ?

Saya rasa kita akan bergaduh lagi dengan Singapura. Jangan terkejut kawasan tadahan air di Johor nanti dituntut jadi hak dia macam dia tuntut Batu Putih. Sekarang ini kita sudah bagi Iskandar Malaysia pada dia senang-senang. Mengapa kita bodoh sangat.

Apapun kasian orang miskin yang terbeban akibat kenaikan harga minyak. Wahai kerajaan bagilah bonus dua bulan kepada kakitangan kerajaan raya ni. Tolong kakitangan swasta dapatkan gaji minimum RM1,500 sebulan sebagaimana diamalkan di negara maju. Kita kan dah hampir maju.

Buang semua pekerja asing. Pastikan rakyat kita bekerja di sektor yang pekerja asing buat sekarang. Mesti ada jalan nak buat. Pekerja asing, orang tengah menter-menteri yang kaya-raya tubuh syarikat ambil pekerja asing. Ini semua penipu.

Banyakkan kilang jana pekerjaan yang banyak pastikan siswazah tak menganggur macam sekarang. Turunkan harga minyak separuh daripada kenaikan RM2.70 jadi RM2.30 cari jalan macam mana nak buat.

Bayangkan Khir Toyo pun terkejut minyak naik kerana tidak dibincang dalam MT. Kalau dia terkejut apa lagi orang miskin. Dia kata dia bimbang nanti orang Melayu naik minyak dan jadi orang minyak maka terlepaslah negara ini ke tangan pembangkang pada 2011 untuk selama-lama. Pergi dan tak akan kembali lagi. Masa itu raja-raja pun taka ada, jadi republik.

Cukuplah dah lama tak tulis panjang

Saya teringat lagu Indonesia ini untuk UMNO

Sayonara sayonara
selamat tinggal kekasih hati ku
sayonara sayonara
hatiku hanya untuk diri mu
walau nanti jauh di mata
lama tak kan berjumpa
namun hati ku kan selalu
terbayang hanya pada diri mu
ulang rangkap atas...

Saya tak tahu siapa nyanyi lagu ini, tetapi ia sangat merdu. Ini lagu masa saya masih sekolah menengah saya dengar di radio dan saya pernah rakamkan.

Thursday, June 5, 2008

Lagi marah rakyat

Apalah nak jadi pada zaman Paklah ni. Minyak naik sampai 2 ringgit 70 sen seliter. Tak ada idea lain ke ? Koridor raya yang macam-macam tu apa jadi ? Jalan ke.

Monday, June 2, 2008

BERCUTI DI CAMERON HIGHLAND

Sempena cuti sekolah, saya membawa anak-anak, isteri dan ibu mertua bercuti di Cameron Highland baru-baru ini. Banyak kenangan bila saya berada di sana kerana semasa saya di UKM, saya beberapa kali ke CH untuk buat kajian orang asli, lepas graduasi, saya bekerja di IMR sekejap, saya juga pergi ke sana.
Bila saya kahwin ada ada anak-anak masih kecil, saya juga selalu ke sana, saya suka sebab sejuk dan pemandangan semula jadi yang indah.
Bila saya pergi baru-baru ini, anak-anak saya sudah besar, yang tua 14 tahun, yang kedua 12, ketiga 8 dan keempat 4. Tak perasan budak-budak ini dah besar. Lawak mereka bukan main melucukan saya sekeluarga.
Yang pasti mereka bergembira kerana saya dapat meluangkan masa selama seminggu bermain dengan mereka sepuas-puasnya. Tetapi saya dapat CH taklah sesejuk sebagaimana dahulu. Ini kerana hutan di hulu Kelantan terus ditebang malah bangunan-bangunan tinggi masih dibenarkan dibina.
Bila lebuh raya KL-CH dibuka, banyak pula kenderaan masuk CH jadi sesak macam KL, macam tu lah pulak. Saya jam berjam-jam dari Tanah Rata ke Brinchang dan sebaliknya. Singaporean pun ramai. Anyway, CH tetap sebuah kawasan peranginan yang indah. Lupa semua hal pejabat.