Friday, May 23, 2008

Ular senduk dah keluar

Ha Ha wayang gambar dah tayang di dinding sekolah...jeng...jeng...jeng. Kecoh satu Malaysia Ezam nak masuk UMNO. Apa nak hairan itu semua sandiwara semasa, anggaplah ia pemanis mulut sebelum PKR masuk BN dan parti komponen, dan Selangor serta Perak automatik balik kepada BN. Jeng...jeng..jeng...jangan tak boleh baca.



Lepas itu anu itu...., PMnya.....anu....timbalan perdana menteri anu...nak ke ?

NASIB ORANG SUKA BERGADUH

Apa nak jadi dengan kita ni, sudahlah bergaduh dalam negara, tengah-tengah bergaduh, Pulau Batu Putih terlepas kepada Singapura siapa nak jawab ?
Saya ada bac blog Kadir Jasin mengenai komennya sebelum kes diputuskan di The Hague semalam yang membayangkan kita akan kalah. Sebelum itu, dua tiga hari sebelum kes, menteri-menteri sibuk ke Johor, bunyi nada berita yang keluar memang Malaysia akan kalah.
Tetapi apa nak hairan kalau kita kalah pun. Singapura hantar wakil semuanya profesor belaka, kita hantar wakil pinggan dapur kabinet. Mana boleh menang ?
La tu ketua delegasi kita pula adalah orang yang mengetuai rundingan jambatan bengkok dengan Singapura yang terpaksa kita batalkan. Kalau kes jambatan bengkok, dia kalah berunding inikan pula kes Pulau Batu Putih.
Masa pilihan raya enam negeri terlepas iaitu Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Kelantan, lepas pilihan raya Negeri Pulau Batu Putih pula terlepas kepada negara asing. Apa nak jadi ni ?

Wednesday, May 21, 2008

MAHATHIR YANG HEBAT

Ada benda `agak-agak' yang saya nak tulis dalam blog ini tetapi saya tak berapa berani takut kena tangkap.

Berkaitan kes Mahathir keluar parti dua hari lalu, saya terfikir macam-macam.

Cuba fikir, sebelum dia umum, dia sudah jumpa Najib/Najib jumpa Tun. Entah apa dibincang kita tak tahu. Tup-tup suruhanjaya diraja siasatan kes video Lingam diumumkan, nama Mahathir dikaitkan sekali.

Paklah semasa ditanya selepas mesyuarat MT mengenai pertemuan Mahathir-Najib itu berkata, beliau tidak tahu apa perbincangannya. Ye ke? Paklah mesti tahu, kalau tak Najib kena sepak.

Sebelum ini saya terdengar khabar angin semasa di JB, Paklah dikatakan beri syarat mengenai kedudukan Najib boleh jadi PM ...... dengan syarat.... bla...bla. Tetapi Najib tolak. Wallahualam.

Saya fikir siapa pun akan tolak kalau begitu syaratnya. Apa syarat, saya tak boleh sebut.

Tup-tup Mahathir entah angin apa macam biasa buat kejutan, kata keluar UMNO, la ni jadi anak beranak keluar parti. Sedih saya.

Saya sudah mula terfikir, Mahathir berbuat demikian kerana mungkin tak berkenan dengan syarat yang saya sebut tadi. Saya tak boleh dedahkan apa. Kiamat hidup Mahathir tak mahu, begitu juga Najib.

Saya fikir Mahathir memang bagi tekanan bukan setakat mahukan Paklah berhenti, malah lebih daripada itu mahu menghalang Paklah daripada.....Mahathir mahu Paklah pilih, sama ada dia atau....yang mesti ada dalam parti...

Saya juga terfikir tiga pemain ABC sekarang sedang bersandiwara di belakang tabir politik negara, yang saya pasti banyak muslihatnya. Ketiga-tiga ABC ini sekali lagi terpaksa bertarung dengan `KEPINTARAN' Dr. Mahathir bermain politik.

Hasilnya saya terus mengkagumi Mahathir sebagai seorang yang sangat strategis. Dia ni memang hebat, gila-gila tetapi mengkagumkan ideanya. Apa yang dia buat sekarang, kita kena berfikir 10 step ke hadapan.

Hakikatnya BN/UMNO jika terus kekal seperti sekarang, ia pasti lingkup pada pilihan raya umum ke-13. Tak usah fikir banyak. Rakyat sekarang sudah tidak peduli, sebab mereka ada pilihan. Mereka benar-benar berani mahu melakukan perubahan.

Barang diingat, kewujudan Suhakam sejak 2001 sememangnya berjaya mendidik masyarakat negara ini supaya menyedari hakikat hak mereka sendiri.

Saya fikir senario politik UMNO bakal berubah dalam masa terdekat.

Monday, May 19, 2008

MAHATHIR MASIH SEPERTI DULU

Tiba-tiba sahaja Mahathir keluar UMNO dan saya melihatnya tidak akan memberi kesan kepada parti sebagaimana dulu Datuk Onn, Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman keluar parti. Saya tak fikir Paklah akan quit sebab dia Presiden dia ada kuasa, dia menang pilihan raya umum walaupun majoriti bukan dua pertiga, tak pedulilah lima negeri terlepas ke tangan pembangkang.

Cuba kita tanya diri sendiri, kalau kita jadi Paklah tengah dok sedap jadi PM, ada jet ke sana-sini mewah pula, istana Putrajaya yang indah menawan, hidup dilayan macam raja, entah apa-apa yang seronok-seronok belaka, tak kan nak lepas begitu sahaja. Manusia memang macam tu.

Tapi yang saya geram Musa Hitam dia kata duri dalam daging dah keluar. Eh, dia bukan duri dalam daging ke ? Orang lain macam mana. Saya nak tanya dalam dunia ini siapa yang tiada kening.....?

Berbalik kepada episod Mahathir-Paklah: Pada pandangan peribadi saya ia bermula daripada rancangan asal Mahathir sendiri sebenarnya memamg tak mahu Paklah jadi PM kerana dia mahu Najib, cuma ketika itu, UMNO mahu Paklah jadi Presiden dan PM.

Bila dah jadi PM, Paklah terlalu banyak merosakkan segala dasar Mahathir bermula dengan memperkecilkan projek mega Mahathir. Mahathir ada Wawasan 2020, dia perkenal 2057.
Dia juga merosakkan Proton. Dia batal projek jambatan. Dia tinggalkan MSC. Pendek kata semua Mahathir buat tak betul.

Bila datang pilihan raya kali kedua selepas menang besar 2004, BN pula menang dalam keadaan sangat menyayat hati apabila Paklah sendiri kehilangan negeri dan menuduh orang UMNO sabotaj.

Hakikatnya pada zaman Paklah segala-galanya tidak terkawal. Cina dan India naik muka dengan orang Melayu, entahlah tak tahu apa nak jadi negara ini.

Dalam konteks dengan Singapura, kita banyak mengalah dan tak pernah berlaku pada zaman Tun Mahathir. Harga barangan dan kos sara hidup jangan ceritalah. Buat pula suruhanjaya Lingam, nama Mahathir terseret sekali.

Jangan terkejut kalau Paklah turun, penggantinya akan buat perkara yang sama sebagaimana Paklah buat sekarang. Mengapa kita mesti ikut macam Indonesia. Nak tutup mulut Mahathir ? Tek betul. Percayalah, Mahathir kalau dia lihat kita buat dasar-dasar yang cerdik macam dia, dia mesti gembira dan sokong. Masalah yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

Saturday, May 17, 2008

NAK JADI APA NEGARA NI

Saya tidak tahu sama ada Paklah memberi fokus yang betul dalam mentadbir negara ini. Mana lebih penting harga beras, barangan perkhidmatan yang mahal atau sistem kehakiman ? Sistem kehakiman tidak boleh menumbangkan kerajaan kerana rakyat bawahan tidak peduli apa nak jadi lagi pun mereka menghakimi kes-kes orang jahat sahaja bukan baik-baik.

Tetapi nampaknya sekarang sistem kehakiman jadi tumpuan, lepas ini apa nak jadi ? Adakah kesemua kes yang dikendalikan oleh hakim-hakim Fairuz, Yusof Chin semuanya akan dikaji balik ? Kes yang dikendalikan Lingam adakah akan dikaji balik. Mungkin public tanya eh boleh percaya kes yang di bawah kendalian mereka ?

Wednesday, May 14, 2008

penatlah jaga blog

Penat pulak jaga blog ni. Hari-hari nak kena bukak untuk up-date. Dah buat blog baru tahu penangannya. Itu belum lagi kandungannya yang boleh terdedah kepada tindakan undang-undang.

Tuesday, May 13, 2008

MUJUR CEPAT BERTINDAK

Kebelakangan ini rakyat memang sangat gelisah berikutan kenaikan harga barang terutama beras. Tak pernah pasar raya Econsave gantung baner tunjukkan harga beras terkini yang sangat mahal bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.

Bayangkan beras biasa yang dulu 10 kilogram kita beli RM18 sekarang sudah jadi RM30 lebih, Beras Siam jangan ceritalah jadi RM50 sekampit 10 kg. Kita yang berpendapatan sederhana bolehlah juga membelinya tetapi macam mana mereka yang miskin, pendapatan di bawah 1000 ringgit sebulan ? Tentu teruk dibuatnya.

Buat pertama kali juga saya rasa Paklah bertindak pantas mengumumkan harga beras dikawal. Memang boleh terguling kerajaan kalau rakyat kelaparan dan mereka akan memberontak.
Sebelum ini beliau mengumumkan harga siling besi dihapuskan.

Cuma ketika dia menyampaikan amanat sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, ramai di kalangan orang UMNO terutama yang muda-muda, macam nak tak nak mendengar.

Bila sampai bab Paklah macam nak taksirah, dewan kedengaran `mengaum', bunyi keran mengurung kepala kita, mereka tak selesa mendengarnya dan Paklah pun perasan keadaan itu terus tamatlah ucapan.

Thursday, May 8, 2008

KE MANA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU

KE MANA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa `suasana' negara ini selepas hampir dua bulan pilihan raya umum berlalu masih tetap tidak `menggembirakan' sebagaimana diharapkan sebelum pilihan raya.
Meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan masing-masing, hakikatnya rakyat mendapati kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang menekan mereka selama ini, masih tidak dapat diatasi.
Sebutlah - petrol, susu, minyak masak, coklat, tepung, gula, Milo, roti, Nescafe, teh, sayur-sayuran, ikan, ubat gigi, pencukur, bateri jam dan apa sahaja yang menjadi keperluan, sama ada harganya dikawal atau tidak, naik belaka.
Kenaikan harga juga melibatkan barang-barang binaan seperti simen, kayu, pasir, besi dan keluli yang tentunya menyesakkan nafas kontraktor kelas F untuk meneruskan survival dalam industri sekali gus menjejaskan kelancaran pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Namun keadaan semakin membimbangkan kebelakangan ini kerana kenaikan harga turut melibatkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini sedang kita memiliki jelapang padi di Kedah dan Selangor.
Suasana semakin mengecewakan apabila kita mendapati ahli-ahli Parlimen yang memulakan sidang mereka di Dewan Rakyat minggu lalu langsung tidak menyentuh soal kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang semakin menekan.
Sukar untuk dipercayai apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang memulakan `perbahasan' dengan mempertikaikan isu remeh-temeh yang tiada kena mengena dengan usaha membela nasib rakyat tidak kira di bandar mahupun di luar bandar.
Melihat gelagat pembangkang itu kita boleh berfikir sendiri, bahawa, kalau kita susah, janganlah diharap pada mereka yang sudah `senang' untuk menyelesaikan masalah kita.
Di pihak kerajaan pula, pelbagai langkah dan dasar telah diumumkan untuk membendung kenaikan harga misalnya penubuhan Majlis Harga Kebangsaan, pemberian subsidi minyak petrol dan sebagainya, namun keadaan nampaknya tidak berubah.
Di kalangan menteri-menteri sendirinya kelihatannya mereka `seakan-akan buntu' untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup yang sudah tidak dapat disekat-sekat ini.
Sekadar contoh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad sekadar menyeru rakyat supaya berjimat makan nasi berikutan kenaikan harga beras sekarang.
Sekadar bertanya, kalau berjimat sangat makan nasi, anak-anak mungkin kekurangan zat. Dalam jangka panjang, tidakkah ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka ?
Dalam pada itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad kelihatannya masih belum muncul dengan idea-idea `cukup bernas' untuk menangani masalah rakyat sekarang.
Suka atau tidak, beliau perlu mencontohi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian tersebut sebelum ini yang rajin turun padang untuk menangani masalah harga barangan walaupun ia hanya turun lima sen.
Kenyataan terbaru Shahrir bahawa bekalan makanan belum sampai ke tahap krisis sehingga memerlukan kerajaan mengambil langkah drastik seperti memperkenalkan sistem kouta juga dikhuatiri menambah lagi rasa tidak selesa rakyat.
Ini kerana seperti pelbagai kenyataan daripada pelbagai pihak bagi menangani masalah kenaikan harga, kenyataan terbaru beliau itu tidak lebih sebagai satu lagi koleksi dan bukti kepada rakyat bahawa semua pihak termasuk kerajaan sendiri gagal menyekat kenaikan harga barang.
Entah di mana silapnya, kenaikan harga barang sekarang kelihatan langsung tidak menyentuh peranan orang tengah atau pemborong sebagaimana sebelum ini golongan tersebut sering menjadi sasaran setiap kali berlaku kenaikan harga barang.
Malah kebelakangan ini juga kita mendapati persatuan-persatuan pengguna langsung tidak kelihatan memainkan peranan dalam membantu nasib pengguna.
Sebagai contoh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memang sudah hilang taringnya sejak ia tidak diterajui oleh Profesor Hamdan Adnan yang kini menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Begitu juga dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, peranan mereka langsung sudah dapat dilihat dalam membela nasib rakyat yang kini menghadapi tekanan kos sara hidup yang bukan sedikit.
Tidak bolehkah persatuan pengguna, kerajaan, pengilang dan pembekal atau pemborong mengadakan pertemuan bersama bagi menangani masalah yang berlaku sekarang ? Kita percaya jalan penyelesaian akan ditemui jika mereka semua duduk berbincang bagi menangani masalah.
Di Selangor, kerajaan pembangkang yang beria-ia hendak membantu rakyat sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya juga gagal melaksanakannya.
Yang terbaru mereka mengakui tidak boleh menurunkan cukai taksiran tahunan sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial kerana ekonomi Selangor kurang memuaskan sedangkan mereka memerintah Selangor Negeri Maju.
Janji mereka hendak memberikan air percuma bagi 20 meter padu pertama bernilai kira-kira RM11 ringgit bermula Jun ini, belum tentu terlaksana kerana ada perkara-perkara yang menghalangnya.
Jika semua pihak nampaknya menghadapi kesukaran untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, di mana lagi mereka hendak mengadu ?
Kita di peringkat pengguna memang boleh berjimat, mengubah gaya hidup, menanam sayur secara hidroponik dan sebagainya tetapi orang miskin bagaimana ?
habis

Tuesday, May 6, 2008

TERKEJUT NASIMUDDIN MENINGGAL DUNIA

Malam kelmarin saya berasa amat terkejut apabila menonton Buletin Utama TV3 bahawa pengasas Naza, Tan Sri Nasimuddin meninggal dunia di Los Angeles.
Sepanjang hari saya buka Internet di rumah, tak ada pula keluar berita dalam mana-mana on line mengenai pemergian beliau.
Saya tidak kenal rapat beliau tetapi saya ada kenangan sentimental disebabkan saya memiliki dua buah kenderaan yang dikeluarkan sendiri oleh syarikat Naza. Saya bangga dengan kedua-duanya. Kedua-duanya sedap belaka.
Pagi esok, bila saya keluar rumah, saya renung kedua-dua kereta itu, saya berjanji kepada diri sendiri untuk membayar habis kereta berkenaan saya berazam beritahu anak cucu saya - kalau umur panjang - inilah kereta zaman dulu, orang Melayu buat. Dulu masa saya kecil, jiran-jiran yang kaya sedikit, beli kereta Jepun, orang Jepun buat. Kini peluang bagi saya untuk beritahu anak cucu kereta itu orang kita buat. Ah betapa bertuahnya kita orang Melayu kerana mampu buat kereta sendiri.
Saya ada makan semeja dengan Nasimuddin semasa mengikuti lawatan TPM Najib ke India, betullah dia ni memang bersopan santun, relaks sahaja caranya, berbudi bahasa, bangga kita melihatnya, handsome pula ada iras macam Sharuk Khan, macam juga rupa abang saya Mahat - saya panggil abang sulung saya ini -abang Mahat- yang meninggal dunia pada 2001 disebabkan kanser kolon! ketika berusia 54 tahun!
Tetapi perangai Nasimuddin saya lihat dia tidak berhenti merokok!
Apapun bagi kedua-duanya Allahyarham Nasimmudin dan arwah abang Mahat, al-Fatihah. Kakak ipar saya, isteri arwah abang Mahat, saya panggil kak Ani yang masakan pedasnya sangat sedap, buat kuih kompleks peehhh memang sedap, juga meninggal dunia kira-kira tiga tahun selepas itu disebabkan kencing manis. Usianya lebih kurang abang saya. Sekarang segala-galanya tinggal kenangan. Kerap saya berfikir, kaya mana sekalipun kita, bila mati segala-galanya ditinggalkan. Yang mengikut kita hanyalah amal ibadat kita sendiri, amal jariah kita dan doa anak-anak. Subhanallah.

Thursday, May 1, 2008

Penat komen pasal blog mahathir

Tadi saya dah tulis panjang mengenai Mahathir buat blog sendiri, panjang juga tetapi tak boleh save tak boleh send, hilang gitu, draft pun tak boleh simpan. habis gitu.
Syukur Zami Ismail sihat balik.

AKU INGAT MAHATHIR DAH ADA BLOG

Suka atau tidak Mahathir adalah orang yang memperkenalkan dunia IT di negara ini dengan adanya Koridor Raya Multimedia bermula pada awal 1990-an. Segala-galanya di negara ini berubah dengan pantas.
Tetapi dalam kecerdikan Mahathir memperkenalkan MSC, beliau sendiri akhirnya ditinggalkan oleh teknologi MSC, IT, internet dan sebagainya yang bergerak terlalu pantas.
Ini nyata apabila beliau sendiri baru memulakan laman blognya sendiri pada 1 Mei 2008, hampir 20 tahun selepas beliau sendiri berhempas pulas memperkenalkan IT MSC di negara ini, namun segala-galanya masih belum terlambat.
Perdana Menteri Abdullah bagaimana ? Ada ke blog ? Najib ada ke ? Entahlah. Walaupun baru berusia sehari, lebih 15,000 pengunjung telah melawat laman blognya. Betapa hebatnya Dr. Mahathir ini. Ideanya masih segar macam dulu, perkara pertama disentuhnya soal suruhanjaya kehakiman.
Beliau juga membenarkan semua parti dan press memetik apa sahaja yang ditulis dalam laman blongnya asalkan ada kredit.
Lepas ini apa sebenarnya akan ditulis oleh Dr. Mahathir, sukar untuk dibayangkan. Apa sahaja yang dicakapnya yang tidak disiarkan oleh akhbar perdana akan ditulis dalam blognya dan boleh dibaca di mana-mana termasuk di ISS, KGB, ISS, sebutlah di mana-mana pun.
Pengaruhnya entah macam mana kita tak tahu entah-entah lebih popular daripada Anwar, Rocky Bru, Kuda Kepang, Masam-Masam Manis, Dr. Khir, Marina Ranting etc.
Tetapi bukan isu ini yang betul-betul menarik perhatian saya. Saya tertarik betapa negara kita sebenarnya berkembang terlalu lambat. Dulu masa Mahathir memerintah, kita rasa negara maju cepat. Tetapi sekarang apabila Mahathir baru nak buat laman blog, terus saya rasa ah betapa lambatnya membangun negara ini.
Pengajarannya, kita memerlukan 10 orang lagi pemimpin yang jauh lebih cerdik daripada Mahathir untuk memastikan negara kita benar-benar maju sebagaimana negara-negara Barat sekarang. Saya tak kata Mahathir tidak cerdik, dia amat cerdik, tetapi kita perlu lebih lagi daripada itu untuk memacu negara ini lebih pantas. Soalnya siapa ?
Saya terbaca satu berita baru-baru ini, Majlis Daerah Batu Pahat memperuntukkan RM76 juta untuk membangunkan semua pasar Batu Pahat yang terletak di tepi sungai Batu Pahat dengan kos RM6 juta. RM70 juta lagi untuk membangunkan tebing Sungai Batu Pahat sebagai pedestrian mall bagi orang awam.
Ah, pasar itu telah wujud 100 tahun dulu! Baru sekarang baru nak buat. Masa saya sekolah 1980-an, pasar Batu Pahat dan sungai Batu Pahat macam itulah, tak banyak berubah, macam zaman dulu. Sekali lagi saya terfikir, ah betapa lambatnya kita bergerak untuk berubah bagi menjadi suatu yang baru dan lebih baik.
Mujurlah negara kita ada Mahathir, kalau tidak entah apa jadi negara kita. Percayalah kemajuan negara bergantung kepada wawasan pemimpinnya, ke mana dia nak bawa negara ini. Dia dapat menggambarkan keadaan negara ini 100 tahun akan datang macam mana.