Friday, April 25, 2008

BERFIKIRLAH DI LUAR KOTAK

SEJAK kebelakangan ini timbul gesaan kurang menyenangkan daripada pelbagai pihak supaya program penghantaran angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tidak diteruskan kerana kononnya membazir.
Sukar dipercayai namun hakikatnya pahit untuk ditelan kerana ada pihak masih gagal melihat kepentingan program itu dalam memupuk minat di kalangan pelajar terhadap sains dan teknologi - melebihi segala-galanya.
Lebih mengejutkan, angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sanggup mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan tidak meneruskan projek tersebut atas alasan sama.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang baru, Datuk Dr. Maximus Ongkili turut mengakui penghantaran kedua angkasawan negara masih lagi dikaji kerana tiada bajet ?
Beliau juga akan membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibincangkan sebelum keputusan muktamad diambil sama ada mahu meneruskan projek itu atau sebaliknya.
Ke mana sebenarnya hala tuju kita untuk menjadi sebuah negara maju yang dilaung-laungkan selama ini ?
Adakah kita mahu berhenti daripada setiap usaha untuk menjadikan negara kita setaraf negara maju ?
Percayalah, Dr. Sheikh Muszaphar sudah menjadi idola bagi lima juta pelajar yang begitu terangsang untuk mendalami sains dan tekonologi walaupun beliau hanya berada di angkasa selama 10 hari.
Jika generasi lama masih mengingati nama Neil Amstrong sebagai manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 1969, hari ini, senario itu sudah berubah apabila nama Muszaphar meniti di bibir anak-anak kita.
Anak-anak kita bangga bercakap mengenai dunia angkasa raya, tentang 3G, 4G, 9G, juga mengenai betapa lajunya satelit bergerak 8 kilometer sesaat atau hampir 29,000 kilometer sejam dan lain-lain lagi, semua berbentuk ilmu belaka.
Tidak bolehkah negara kita memberanikan diri menceburi industri pembuatan roket secara bersungguh-sungguh sebagaimana China dan India ?
Sudah lupakah kita betapa meriahnya menyaksikan penghantaran angkasawan negara secara langsung menerusi Astro tahun lalu, sama meriahnya kita menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998 ?
Teringat penulis semasa menaiki teksi untuk ke Kajang tahun lalu apabila pemandunya beria-ia mengkritik projek menghantar angkasawan yang dilihatnya betul-betul membazir.
Katanya, lebih baik wang itu digunakan bagi membantu orang susah sepertinya walaupun membawa teksi tanpa menggunakan meter sebagaimana ditetapkan kerajaan!
Sekadar bertanya, apa bezanya mereka yang beria-ia mahu projek menghantar angkasawan kedua negara dihentikan dengan pemikiran segelintir pemandu teksi negara ini ?
habis

No comments: