Pusat media digital di IPTVOleh SAMSOR JUNET (Yang mengikuti Persidangan Media Asia Pasifik Alcatel 2006 di Sydney, Australia, baru-baru ini)
TELEVISYEN Protokol Internet (IPTV) sedang berkembang pesat di seluruh dunia.--------------------------------------------------------------------------------
MUNGKIN sukar untuk dipercayai bahawa seluruh kehidupan kita terutama di rumah mahupun di hotel, atau di mana sahaja bakal berpusat pada Televisyen Protokol Internet (IPTV) dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ia merupakan televisyen generasi baru, berkemampuan memaparkan gabungan data, suara dan video yang dihantar menggunakan rangkaian jalur lebar gentian optik berkelajuan cahaya, bukan lagi jalur lebar diperbuat daripada tembaga.
Bayangkan jika IPTV terdapat di rumah, anda boleh menonton filem terkini Brokeback Mountain secara muat turun dari Internet, melanggan filem, menelefon rakan, menerima panggilan, menghantar e-mel, mengakses maklumat dari Internet – sebutlah apa sahaja, dengan menggunakan alat kawalan jauh sambil menghirup kopi pekat.
Anda juga boleh menonton siaran langsung Piala Dunia di Jerman pada Jun ini sambil membayar bil telefon bimbit, bil elektrik atau menerima panggilan telefon daripada kawan-kawan atau saudara-mara atau membaca akhbar arus perdana melalui TV yang sama.
Jika anda kini perlu ke kaunter bank untuk membayar bil atau mengakses Internet di komputer untuk melakukan perkara yang sama atau sedang berbaris panjang di hadapan mesin teller automatik (ATM) untuk membayar bil kereta dan rumah, ia tidak lagi begitu jika anda memiliki IPTV di rumah.
Bayangkan pula anak-anak anda sekarang seronok bermain PlayStation di rumah tetapi berseorangan. Tetapi dengan IPTV, anak anda boleh bermain PlayStation di televisyen bersama kawan-kawan yang berada di rumah masing-masing!. Fikir sendiri kesannya perkembangan dunia digital ini.
Kesemua syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi gergasi di seluruh dunia termasuk Alcatel yang mencatatkan jualan 13.1 bilion euro pada 2005, beroperasi di lebih 130 negara serta memiliki 58,000 pekerja kini, berlumba-lumba menyediakan kemudahan tersebut.
Dari semasa ke semasa, ia sentiasa berusaha memperkenalkan rangkaian generasi baru yang mampu mengendalikan kesemua aplikasi yang pelbagai dalam satu rangkaian jalur lebar yang sama tetapi kos efektif dan bercirikan masa depan.
Ia sebenarnya selaras dengan permintaan pengguna di seluruh dunia ketika ini yang mahukan kehidupan mereka menjadi lebih mudah sekali gus merangsang percantuman alat, perkhidmatan dan rangkaian dengan pantas dalam industri telekomunikasi.
Ringkasnya, ia membawa cabaran besar kepada pengendali atau operator telekomunikasi untuk merombak model dan rangkaian perniagaan mereka yang akan menyebabkan percantuman sekali gus berlaku transformasi kepenggunaan abad baru yang tidak dapat dibayangkan implikasinya kepada kehidupan masyarakat ketika itu.
Presiden Alcatel Asia Pasifik, Christian Reinaudo menganggarkan pengguna IPTV yang kini berjumlah 2.6 juta bakal meningkat kepada 100 juta di seluruh dunia pada 2010.
Pihaknya juga menjangkakan pengguna IPTV di rantau Asia Pasifik akan meningkat daripada 900,000 kepada 16.5 juta pada 2010.
Secara ringkasnya, menurut beliau, percantuman dan transformasi dalam industri telekomunikasi, pengkomputeran dan penyiaran sedang berlaku dengan hebat serta tidak dapat dielakkan sama sekali.
Tiga faktor mengapa keadaan itu berlaku:
* Pelanggan mahu perkhidmatan ‘user-centric’
*Ia memerlukan rangkaian transformasi dan pelaburan besar-besaran
* Rangkaian transformasi itu pula sedang berlaku di seluruh dunia dengan begitu pesat.
Menurut beliau, Alcatel mempunyai rumusan dari awal hingga akhir untuk aplikasi triple play yang membolehkan ia menawarkan perkhidmatan berpusatkan pengguna dan berkualiti tinggi.
Malah dengan pengalaman luas melaksanakan aplikasi video dalam talian termasuk yang digunakan oleh SBC di Amerika Syarikat, Swisscom dan Softbank Yahoo di Jepun, FastWeb (Itali), SuperSUN di Hong Kong dan Sistema di Rusia, perkara yang sama boleh dilaksanakan di negara ini jika kita memiliki rangkaian jalur lebar yang berkuasa tinggi.
Beliau berkata demikian kepada 50 wartawan dari rantau Asia Pasifik yang menghadiri seminar media Alcatel itu termasuk dari Malaysia, Jepun, China, Vietnam, Indonesia, Hong Kong dan lain-lain lagi terlibat membincangkan pelbagai isu teknikal dan teknologi berkaitan percantuman antara pelbagai media dalam industri telekomunikasi.
Reinaudo menjelaskan, Malaysia termasuk dalam senarai lima negara di Asia yang mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Pada tahun ini, Alcatel akan meneruskan fokus kepada pasaran vertikal seperti kerajaan, syarikat utiliti, pengangkutan dan penerbangan,” katanya.
Pelanggan utama syarikat itu ketika ini ialah Tenaga Nasional, Putrajaya dan UOB, TM, Celcom, Maxis, DiGi dan TimedotCom.
Agak menarik dalam persidangan kali ini ialah apabila Ketua Pegawai Teknikal Best TV Shanghai Media Group, Minnie Huang mengakui transformasi telekomunikasi yang berlaku sekarang bakal memberi cabaran kepada medium media tradisional seperti akhbar, majalah, radio dan sebagainya.
Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan kekurangan sifat interaktif medium itu sendiri berbanding IPTV dan segala rangkaiannya.
Beliau berkata, di China, terdapat 300 juta set televisyen dan kehadiran teknologi baru IPTV ini bakal merobah gaya hidup penduduk di negara itu.
Menurutnya, dalam dunia yang sedang berubah, medium yang baru itu mampu menarik 80 peratus perhatian penonton malah digilai oleh golongan muda.
“Di negara kami, Internet, multimedia, PC jalur lebar, TV jalur lebar, khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS) dan televisyen bergerak mempunyai pengikutnya sendiri memandangkan jumlah penduduk melebihi 1 bilion,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment