Thursday, May 8, 2008

KE MANA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU

KE MANA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa `suasana' negara ini selepas hampir dua bulan pilihan raya umum berlalu masih tetap tidak `menggembirakan' sebagaimana diharapkan sebelum pilihan raya.
Meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan masing-masing, hakikatnya rakyat mendapati kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang menekan mereka selama ini, masih tidak dapat diatasi.
Sebutlah - petrol, susu, minyak masak, coklat, tepung, gula, Milo, roti, Nescafe, teh, sayur-sayuran, ikan, ubat gigi, pencukur, bateri jam dan apa sahaja yang menjadi keperluan, sama ada harganya dikawal atau tidak, naik belaka.
Kenaikan harga juga melibatkan barang-barang binaan seperti simen, kayu, pasir, besi dan keluli yang tentunya menyesakkan nafas kontraktor kelas F untuk meneruskan survival dalam industri sekali gus menjejaskan kelancaran pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Namun keadaan semakin membimbangkan kebelakangan ini kerana kenaikan harga turut melibatkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini sedang kita memiliki jelapang padi di Kedah dan Selangor.
Suasana semakin mengecewakan apabila kita mendapati ahli-ahli Parlimen yang memulakan sidang mereka di Dewan Rakyat minggu lalu langsung tidak menyentuh soal kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang semakin menekan.
Sukar untuk dipercayai apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang memulakan `perbahasan' dengan mempertikaikan isu remeh-temeh yang tiada kena mengena dengan usaha membela nasib rakyat tidak kira di bandar mahupun di luar bandar.
Melihat gelagat pembangkang itu kita boleh berfikir sendiri, bahawa, kalau kita susah, janganlah diharap pada mereka yang sudah `senang' untuk menyelesaikan masalah kita.
Di pihak kerajaan pula, pelbagai langkah dan dasar telah diumumkan untuk membendung kenaikan harga misalnya penubuhan Majlis Harga Kebangsaan, pemberian subsidi minyak petrol dan sebagainya, namun keadaan nampaknya tidak berubah.
Di kalangan menteri-menteri sendirinya kelihatannya mereka `seakan-akan buntu' untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup yang sudah tidak dapat disekat-sekat ini.
Sekadar contoh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad sekadar menyeru rakyat supaya berjimat makan nasi berikutan kenaikan harga beras sekarang.
Sekadar bertanya, kalau berjimat sangat makan nasi, anak-anak mungkin kekurangan zat. Dalam jangka panjang, tidakkah ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka ?
Dalam pada itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad kelihatannya masih belum muncul dengan idea-idea `cukup bernas' untuk menangani masalah rakyat sekarang.
Suka atau tidak, beliau perlu mencontohi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian tersebut sebelum ini yang rajin turun padang untuk menangani masalah harga barangan walaupun ia hanya turun lima sen.
Kenyataan terbaru Shahrir bahawa bekalan makanan belum sampai ke tahap krisis sehingga memerlukan kerajaan mengambil langkah drastik seperti memperkenalkan sistem kouta juga dikhuatiri menambah lagi rasa tidak selesa rakyat.
Ini kerana seperti pelbagai kenyataan daripada pelbagai pihak bagi menangani masalah kenaikan harga, kenyataan terbaru beliau itu tidak lebih sebagai satu lagi koleksi dan bukti kepada rakyat bahawa semua pihak termasuk kerajaan sendiri gagal menyekat kenaikan harga barang.
Entah di mana silapnya, kenaikan harga barang sekarang kelihatan langsung tidak menyentuh peranan orang tengah atau pemborong sebagaimana sebelum ini golongan tersebut sering menjadi sasaran setiap kali berlaku kenaikan harga barang.
Malah kebelakangan ini juga kita mendapati persatuan-persatuan pengguna langsung tidak kelihatan memainkan peranan dalam membantu nasib pengguna.
Sebagai contoh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memang sudah hilang taringnya sejak ia tidak diterajui oleh Profesor Hamdan Adnan yang kini menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Begitu juga dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, peranan mereka langsung sudah dapat dilihat dalam membela nasib rakyat yang kini menghadapi tekanan kos sara hidup yang bukan sedikit.
Tidak bolehkah persatuan pengguna, kerajaan, pengilang dan pembekal atau pemborong mengadakan pertemuan bersama bagi menangani masalah yang berlaku sekarang ? Kita percaya jalan penyelesaian akan ditemui jika mereka semua duduk berbincang bagi menangani masalah.
Di Selangor, kerajaan pembangkang yang beria-ia hendak membantu rakyat sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya juga gagal melaksanakannya.
Yang terbaru mereka mengakui tidak boleh menurunkan cukai taksiran tahunan sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial kerana ekonomi Selangor kurang memuaskan sedangkan mereka memerintah Selangor Negeri Maju.
Janji mereka hendak memberikan air percuma bagi 20 meter padu pertama bernilai kira-kira RM11 ringgit bermula Jun ini, belum tentu terlaksana kerana ada perkara-perkara yang menghalangnya.
Jika semua pihak nampaknya menghadapi kesukaran untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, di mana lagi mereka hendak mengadu ?
Kita di peringkat pengguna memang boleh berjimat, mengubah gaya hidup, menanam sayur secara hidroponik dan sebagainya tetapi orang miskin bagaimana ?
habis

No comments: