Saturday, April 5, 2008

DARI ANGKASA KE DASAR LAUT

Oleh: SAMSOR JUNET SEJAK dua dekad lalu, Perancis merupakan antara negara paling berjaya di Eropah dalam konteks memajukan ilmu pengetahuan, perniagaan, modal, teknologi, pendidikan dan inovasi ke dalam pasaran dunia.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai keluaran negara kasar kelima terbesar di dunia, tidak menghairankan apabila banyak negara termasuk Malaysia tidak mahu melepaskan peluang bekerjasama dengan negara itu dalam banyak bidang.
Dari dulu sampai sekarang, Malaysia sememangnya memiliki hubungan dua hala yang baik dengan negara itu disebabkan kerjasama serta pelaburan antara kedua-dua negara yang sentiasa menguntungkan antara satu sama lain.
Salah satu kekuatan Perancis ialah kemantapannya dalam sektor inovasi dengan jurutera-jurutera negara itu mampu memainkan peranan penting dalam melahirkan teknologi mutakhir seperti kapal Queen Mary 2, pesawat gergasi Airbus 380 dan kereta api berkelajuan tinggi TGV atau tres grande vitesse.
Justeru lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perancis minggu ini dilihat amat perlu dalam mengukuhkan lagi hubungan baik yang sudah sedia terjalin itu demi kepentingan jangka panjang.
Lebih menarik lagi, ia merupakan lawatan rasmi pertama di kalangan pemimpin tertinggi negara sejak Perancis dipimpin Presiden baru, Nicolas Sarkozy menggantikan Jacques Chirac.
Bagi Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk S. Thanarajasingam, lawatan kali ini merupakan satu peluang keemasan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk bertemu dengan barisan kepimpinan Perancis yang baru.
“Kita perlu merebut peluang untuk terus menjalinkan hubungan dengan Perancis memandangkan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini mencecah RM8.3 bilion,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Four Season, Paris.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.08 bilion adalah eksport Malaysia dalam bentuk barangan berkaitan elektronik. Ia meliputi transistor, peralatan pemprosesan data automatik dan peralatan komunikasi.
Ia diikuti getah mentah RM286.8 juta, produk berasaskan getah (RM248 juta), tekstil (RM103.5 juta), mesin dan peralatan berkaitannya (RM63.1 juta) manakala yang lain-lain meliputi eksport makanan yang diproses, perabot, peralatan sains dan optikal, makanan laut serta kimia.
Pada masa yang sama pula, Malaysia mengimport produk berkaitan pengangkutan dari Perancis sebanyak RM4.25 bilion dalam tempoh yang sama. Produk tersebut meliputi pesawat, produk farmaseutikal, peralatan komunikasi, minuman serta mesin elektronik.
“Dalam konteks Kesatuan Eropah (EU), Malaysia merupakan rakan kongsi keempat terbesar dari segi perdagangan, import dan eksport manakala bagi Perancis, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar dari rantau Asia Tenggara selepas Singapura,” kata Thanarajasingam.
Sebenarnya Najib yang tiba selepas menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Moscow mempunyai jadual lawatan kerja tiga hari yang amat padat di Perancis.
Menurut beliau, pelancaran kapal selam pertama negara Scorpene yang telah siap dibina sepenuhnya di Cherbourg pada hari ini (Selasa) memberikan makna tersendiri kepada Malaysia.
“Kita sekarang sudah berada di barisan hadapan dalam konteks betapa kita sudah mampu menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas dan kita juga secara rasminya memiliki kapal selam sendiri yang dibina di Perancis – dari udara kita ke dasar laut pula dan kedua-duanya mengubah minda kita, ia jadi era baru bagi kita,” katanya.
Pelancaran kapal selam tempur dari kelas Scorpene, salah sebuah daripada dua kapal selam yang ditempah di Perancis yang bernilai lebih RM3 bilion sememangnya sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
Kapal selam tersebut yang mampu menyelam pada kedalaman 300 meter (1,000 kaki) dari permukaan laut serta dilengkapi enam tiub torpedo itu merupakan langkah pengukuhan kepada armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Yang menariknya, walaupun banyak pilihan, Kementerian Pertahanan memilih untuk memiliki kapal selam buatan Perancis.
Ini kerana negara itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kapal selam apatah lagi teknologi yang digunakan adalah yang terkini.
Ia mampu membawa 32 anak kapal dan direka khas dengan peralatan canggih untuk kegunaan peperangan antikapal selam, peperangan antipermukaan, operasi khas dan risikan serta amat sesuai sekali untuk mengawasi Selat Melaka yang merupakan laluan perdagangan laut terbesar di dunia.
TLDM amat memerlukan kapal selam sendiri kerana perairan Laut China Selatan merupakan laluan kapal kedua paling sibuk di dunia dan jika berlaku konflik, laluan Selat Melaka turut terjejas.
Sebenarnya laluan Selat Melaka tiga kali ganda lebih sibuk daripada laluan Teluk Suez dan lima kali ganda lebih sibuk daripada laluan Teluk Panama.
Tetapi hakikat yang lebih penting ialah kawasan perairan Laut China Selatan sangat kaya dengan hidupan laut serta dipercayai dilimpahi dengan simpanan minyak dan gas yang banyak.
Kita harus ingat di mana pun jika terdapat ‘emas hitam’ maka di situ juga ada konflik malah negara kuasa besar sanggup melakukan apa sahaja terhadap negara lain demi emas hitam sebagaimana terjadi di Iraq.
Seiring dengan pelancaran kapal selam itu, Najib juga dijadual memberikan syarahan utama di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) bertajuk Isu-Isu Keselamatan dan Pertahanan di Asia Tenggara.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Perancis, inilah masanya bagi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan terkini di Myanmar, keselamatan di Selat Melaka dan perkara-perkara berkaitan.
Selain daripada itu, Najib juga akan membantu kempen Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi memastikan Malaysia dapat memenangi kerusi ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk empat tahun dari 2008 hingga 2011 pada Rabu ini.
“Kita yakin dengan pengalaman yang luas dalam dunia politik, Datuk Seri Najib akan dapat menggunakan pengalamannya membantu kempen bagi memastikan Malaysia memenangi kerusi itu,” katanya selain menambah, Najib juga akan menghadiri beberapa mesyuarat membabitkan hubungan dua hala dengan Perancis.
Malaysia yang sudah 50 tahun mengecapi kemerdekaan kini sudah berada dalam satu era baru yang sudah tidak lagi sama seperti masa lalu.
Malaysia kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain malah jika berusaha lebih gigih, kita boleh berdiri lebih tinggi daripada mereka.
Kini di mana-mana pun kita berjalan di muka bumi ini termasuk ketika memanjat Menara Eiffel di Paris, kita sudah ada perasaan bangga yang berlainan akan kemampuan negara untuk menjadi bangsa cemerlang dan dihormati.

No comments: