Saturday, April 5, 2008

CANGGIH DI DARAT DAN UDARA

SAMSOR JUNET (DI PARIS, PERANCIS)



(Saya menulis artikel ini dalam keadaan nyaman dalam bilik Prince de Gaulle, Paris, hotel ini sebelah hotel Najib duduk tidak ingat namanya tetapi mewahlah nampaknya. Masa tengok kapal selam ini, saya teringat Rusia ada berpuluh-puluh kapal selam, begitu juga negara lain Singapura ada empat. Kira kita ini lambat sangat bertindak baru ada satu kapal nak jadi dunia sedangkan keliling kita banyak juga musuh. Kenapa kita ambil mudah tentang pertahanan. Kalau perang dunia macam mana kita ?)


MINGGU yang penuh dengan kisah kejayaan negara, itulah kesimpulan hasil lawatan kerja tiga hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perancis pada musim luruh berakhir kelmarin.
Ia bermula dengan cerita kejayaan angkasawan negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor selamat kembali ke Bumi selepas berjaya membelah angkasa raya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama sembilan hari pada awal minggu ini.
Kejayaan beliau menjulang nama bangsa dan negara sememangnya membanggakan kita semua termasuk Timbalan Perdana Menteri yang menyambut kepulangan beliau di Rusia sebelum berlepas ke Paris.
Kira-kira 36 jam selepas itu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor secara rasmi menamakan kapal selam tempur pertama negara Scorpene sebagai Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Bapa Kemerdekaan di Cherbourg, kira-kira 300 kilometer dari Paris.
Dua cerita kejayaan itu seakan-akan tidak cukup bagi negara apabila pada Rabu lalu, Malaysia berjaya pula memenangi kerusi ahli Lembaga Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Meskipun kejayaan itu agak mengejutkan bagi ‘tubuh badan’ calonnya iaitu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hakikatnya ketika ditemui wartawan Malaysia di ibu pejabat UNESCO, Najib jelas begitu yakin Malaysia mampu memenangi kerusi itu.
‘‘Saya yakin kita akan menang, saya pernah menduduki kerusi itu ketika menjadi Menteri Pendidikan pada 1999, malah ketika itu saya mendapat jumlah undi tertinggi,” kata Najib.
Hishammuddin ketika ditemui di penginapannya di Hotel Four Season bagaimanapun menjelaskan, di sebalik perasaan takut menjadi calon sehingga tidak senang duduk dan tidak boleh tidur malam, ia diperoleh selepas dua tahun Malaysia berkempen.
Menurut beliau kejayaan memenangi kerusi itu adalah kemenangan untuk kerajaan dan Malaysia di mana dalam tempoh tersebut telah berkempen ke serata dunia supaya wakil-wakil ke UNESCO mengundi Malaysia.
‘‘Saya berasa agak bertuah kerana kerajaan Malaysia sendiri berkempen untuk memastikan kemenangan ini dan sebagai balasannya saya akan memastikan suara Malaysia walaupun sebagai negara kecil tetap didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Semasa di Cherboug, perasaan patriotik menyelinap dalam diri ketika lagu Negara Ku berkumandang dan Jalur Gemilang dikibarkan sempena majlis penamaan kapal selam Scorpene yang mampu melepaskan 18 peluru berpandu.
Melihat keadaan dalam kapal selam itu sendiri yang sangat sempit dan menyesakkan nafas, sudah cukup untuk kita menyatakan perasaan terima kasih kepada anak-anak muda Malaysia yang sanggup berkorban demi bangsa, agama dan negara.
Ketika lagu rasmi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkumandang di bumi Cherbourg, anak-anak kapal selam Scorpene yang masih muda belia, turut menyanyikan lagu tersebut sehinggalah penghujung seni katanya - ‘‘perwira dan satria angkatan laut diraja.”
Justeru tidak hairanlah apabila kesemua wajah anak-anak Malaysia yang berada di Perancis sepanjang minggu ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan, berasa cukup gembira atas kejayaan yang dicapai itu.
Ketika menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia, Najib berkata, dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira 36 jam, landskap negara berubah secara mendadak.
‘‘Selama ini kebanyakan daripada kita tidak pernah terfikir akan dapat melakukan ini semua tetapi hari ini kita berjaya melakukannya, selepas berjaya menjadi negara meneroka angkasa, kita pula mendapat kapal selam pertama yang sangat canggih teknologinya.
‘‘Semuanya ini terhasil dalam masa 50 tahun kita mencapai kemerdekaan,” katanya kepada hadirin yang datang ke majlis itu termasuk penyanyi tempatan yang menempa nama di Perancis, Datuk Shake serta isteri.
Perasaan bangga terhadap kejayaan negara itu turut dikongsi bersama pelajar-pelajar Malaysia di Perancis yang datang ke majlis tersebut - berpakaian cukup bergaya sekali - tetapi yang pasti mereka berbangga kerana rakan-rakan mereka di Malaysia berjaya menjulang nama negara di mata dunia.
Salah seorang daripada mereka bangun bertanya Najib sama ada orang lain berpeluang untuk menjadi angkasawan, dan Timbalan Perdana Menteri yang cukup gembira dengan soalan itu menjawab: ‘‘Semua orang ada peluang untuk menjadi angkasawan.
‘‘Tetapi calonnya bukan setakat seorang yang intelektual malah lebih daripada itu mesti mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang cukup hebat.”
Soalan pelajar kejuruteraan serta beberapa soalan yang dilontarkan secara bersopan kepada tetamu kehormat sudah cukup untuk menceriakan majlis.
Sebelum itu hadirin yang baru sahaja tekun mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri selepas menikmati jamuan makan malam terkejut dengan satu soalan daripada seorang pelajar kedoktoran falsafah (PhD) dalam sains politik.
Dengan cermin mata tebalnya serta memakai jaket labuh yang kelihatannya agak mahal, pelajar yang masih muda belia itu secara terbuka - mempertikaikan hakikat kejayaan bagi sebuah negara bernama Malaysia - amat menyedihkan kita yang lebih dewasa untuk mendengarnya.
Namun Najib menjelaskan, Malaysia dalam banyak aspek telah berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama, pangkat dan kedudukan - mungkin ada kelemahan namun ruang bagi memperbaikinya sentiasa terbuka.
‘‘Kita telah melakukan banyak perkara di Malaysia sejak kemerdekaan sehingga kita mampu berada pada kedudukan sekarang, kalau tidak, anda tidak akan berada di sini,” tegas Najib.
Semasa menyampaikan syarahan di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI), Najib turut mengambil peluang memberi penjelasan kepada hadirin yang terdiri daripada pemikir tentang masalah yang dihadapi oleh rantau Asia Tenggara terutama Myanmar secara berterus-terang.
Beliau juga mengambil kesempatan memberi keyakinan kepada hadirin bahawa kuasa besar China bukan satu ancaman kepada dunia dan rantau Asia Tenggara.
‘‘Berdasarkan sejarah negara China tidak pernah menjajah negara jiran sebagaimana dilakukan negara-negara lain terutama kuasa Barat. Tak tahulah kalau Perancis...” katanya dan dijawab oleh pengerusi majlis, ‘‘belum lagi’', sekali gus memecahkan sunyi dewan yang sebelum itu khusyuk mendengar syarahan Najib.
Yang pasti terlalu banyak cerita kejayaan negara diukir ketika Timbalan Perdana Menteri berada di Perancis dan ini tentu suatu perkara yang menggembirakan rakyat Malaysia yang kini tentunya tertunggu-tunggu tarikh pengumuman pilihan raya umum.

No comments: