Tuesday, April 8, 2008
KL SESAK SEBAB TIDAK ADA PERANCANGAN TELITI
SUDAH begitu lama warga Lembah Klang yang kini berjumlah 4.3 juta orang terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang cukup menyeksakan. Ia meningkatkan tekanan warga kota yang terpaksa berbelanja lebih untuk petrol dan penyelenggaraan kenderaan selain menjejaskan usaha memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Kesesakan berterusan turut menghalang cita-cita kerajaan mengangkat Kuala Lumpur (KL) sebagai sebuah bandar raya global sebagaimana London, New York, Paris dan Tokyo. Ia juga menyebabkan KL terus tertinggal berbanding Singapura, Hong Kong dan Sydney yang sudah menjadi bandar raya sub global bagi rantau Asia Pasifik. Jangan terkejut jika KL akan kehilangan daya tarikan kepada kedatangan pelabur asing dalam pelbagai bidang perkhidmatan yang menjadi ciri utama bandar raya global. Entah macam mana keadaan KL pada 2020 yang diramalkan mempunyai penduduk 7.1 juta orang manakala jumlah kenderaan sekali ganda daripada sekarang ? Menyedari keadaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perlunya pelan lalu lintas bersepadu diwujudkan dengan mengambil kira unjuran kesesakan lalu lintas Lembah Klang sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang. Ketika merasmikan ``Retreat Memperkasa Sistem Pengangkutan Awam - Sistem Lalu Lintas di Kuala Lumpur: Hot Spots’’ di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan baru-baru ini, beliau berkata, pelan bersepadu itu perlu menjadi rujukan tunggal bagi semua pihak untuk menyelesaikan masalah kesesakan. Semasa berucap, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan turut berkongsi perasaan mengenai keadaan kesesakan yang berlaku. ``Nampaknya tema hari ini memang kena. Saya sepatutnya perlukan masa 10 minit untuk ke sini dari Putrajaya. Tetapi tiba-tiba hari ini jadi setengah jam pula....saya tersangkut (dengan kesesakan),’’ katanya. Ramai yang tertawa mendengarnya tetapi ada juga peserta terasa macam hendak ketawa tetapi akhirnya tidak jadi ketawa. Beliau dijadual tiba pada majlis tersebut pada pukul 3 petang tetapi disebabkan kesesakan, beliau hanya dapat tiba pukul 3.30 petang. Retreat ke-12 itu dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dalam usaha untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah sedia ada dan seterusnya dibawa ke peringkat menteri dan Kabinet untuk tindakan seterusnya. Sepanjang tiga hari retreat diadakan, pelbagai idea dilontarkan yang kesemuanya amat menarik sekali kerana jika betul dapat dilaksanakan, memang tiada kesesakan di KL. Persoalannya bolehkan segala idea yang suci dan murni itu dilaksanakan ? Antara idea paling menarik ialah daripada Pengarah Urusan Bina Fikir Sdn. Bhd., Mohammed Rashdan Yusof dan Dr. Dahlia Rosley dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa supaya diwujudkan Lembaga Pengangkutan Bandar Lembah Klang (KUTA). Badan yang dicadangkan ini bertanggungjawab mengambil alih segala perancangan dan pengurusan sistem pengangkutan di Lembah Klang daripada agensi-agensi kerajaan sedia ada. Menurut Rashdan, bandar-bandar utama seperti London, New York dan Singapura terdapat badan tunggal yang menguruskan pengangkutan awamnya. Malangnya keadaan itu tidak berlaku di KL kerana 13 agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam soal pengangkutan yang akhirnya bukan menyelesaikan - malah memburukkan lagi masalah. Ironinya setiap kali berlaku kesesakan terutama apabila hujan renyai-renyai sampai ke tengah malam, ataupun ada kemalangan di satu-satu tempat, `mangsa pertama’ yang `ditala’ warga kota ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sekadar mengingatkan, DBKL tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku kerana banyak lagi agensi kerajaan lain yang turut menyumbang sama kepada kesesakan KL. Sekadar contoh, satu ketika dulu, semua orang memuji apabila Kementerian Kerja Raya mahu membina Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR1 dan II) apatah lagi ia tiada tol. Hari ini keadaan sudah terbalik kerana MRR 1 dan II mengalami kesesakan teruk setiap hari - malah hampir tepu sama seperti Lebuhraya Persekutuan ke Shah Alam dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Tetapi orang tetap menyalahkan DBKL. Jangan terkejut, kira-kira 3.8 juta orang menggunakan laluan tersebut pada waktu siang dan kira-kira 1.9 juta orang menggunakan lebuh raya tersebut pada waktu malam. Sekadar bertanya, apakah perancang-perancang dalam kementerian terbabit menyedari masalah tersebut sejak daripada awal lagi ? Namun mungkin ada yang bertanya bolehkah diwujudkan satu badan khas untuk mengambilalih pengurusan pengangkutan di Lembah Klang termasuk dengan `projek dan bajetnya sekali ? Jawapannya ialah tentu boleh dengan syarat ada political will. Salah seorang peserta berkata, untuk menjayakan hal tersebut, KUTA boleh mencontohi Johor yang `overwrite’ semua kuasa yang ada demi pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Banyak lagi contoh yang berlaku menunjukkan, kebanyakan projek berkaitan pengangkutan awam di KL telah dilaksanakan tanpa memikirkan semasak-masaknya akan kesan jangka panjang. Masalah ini turut ditegur oleh Najib yang berkata, sepatutnya tidak ada penyelesaian masalah lalu lintas yang hanya boleh memberikan kelegaan kepada pengguna untuk tempoh setahun dua sahaja. Katanya ia sepatutnya melangkaui tempoh 20 hingga 30 tahun. Sebetulnya, entah berapa ramai pegawai-pegawai agensi kerajaan yang membaca Pelan Struktur 2020 yang begitu tebal itu dan terdapat dalam dua bahasa - Melayu dan Inggeris. Ini kerana sekiranya semua agensi kerajaan mematuhi, merujuk dan mengikut pelan yang telah diiktiraf oleh kerajaan itu, penulis percaya masalah kesesakan di KL boleh diatasi. Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bayangkan ketika KL sudah tidak boleh menerima lagi kemasukan kenderaan persendirian dengan begitu banyak, ada kementerian didapati meluluskan begitu banyak teksi. Ketika ini terdapat lebih 25,000 teksi beroperasi di bandar raya, 15,000 perjalanan bas dalam sehari manakala bagi setiap 1,000 penduduk terdapat 211 kereta. Pada masa yang sama, jumlah mereka yang menggunakan pengangkutan awam didapati terus berkurangan daripada 34 peratus kepada 19 peratus sahaja. Ini bertentangan dengan keadaan di negara-negara maju apabila jumlah mereka yang menggunakan kenderaan awam adalah 60 peratus berbanding 40 peratus menggunakan kenderaan persendirian. Keadaan ini membimbangkan Najib kerana kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini adalah lebih rendah daripada paras dunia. Malah keadaan menjadi semakin buruk kerana disebabkan kelemahan dalam sistem pengangkutan awam termasuk bas, teksi dan transit aliran ringan serta monorel, makin ramai didapati menggunakan kenderaan persendirian. Kebelakangan ini, jumlah kenderaan persendirian semakin bertambah di Lembah Klang disebabkan kewujudan pelbagai jenis kereta yang murah. Pada masa yang sama, DBKL tiada hak langsung untuk menghalang kemasukan kenderaan persendirian itu sebagaimana dilakukan di Singapura yang mengenakan bayaran jika hendak masuk ke pusat bandar raya. Jangan salahkan DBKL kalau KL sesak menggila pada waktu puncak. Salahkah jabatan dan agensi kerajaan lain yang didapati tidak proaktif dalam usaha untuk memastikan KL bebas daripada kesesakan lalu lintas. Dari semasa ke semasa, ada sahaja projek perumahan baik dalam kawasan berdekatan bandar atau konurbasinya yang terus dilulus dan dibina. Projek sebegini akhirnya mewujudkan lebih ramai penduduk, lebih banyak kenderaan dan pelbagai lagi yang akhirnya, mereka ini akan menjadi penyumbang kepada kesesakan KL. Sebenarnya ada cara bersepadu untuk menyelesaikan masalah tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian. Akhirnya Pelan Struktur 2020 menjadi `kitab buruk’ yang amat malang - ada banyak kebenaran tetapi orang tak pandang.’ Dipendekkan kata, dalam soal pengurusan sistem pengangkutan di Lembah Klang ini, boleh kita ibaratkan, KL mengandungi berbelas ekor ular besar-besar belaka, yang kepalanya bergerak ke arah berlainan ? Jika ia tidak diatasi, sampai kepada anak cucu cicit kita, masalah kesesakan di KL tidak akan selesai. Sebagaimana sekarang, entah-entah pada 2020, kita masih lagi mendengar deejay radio melaporkan: ``Nampaknya kita berpesta lampu merah...oii ekornya dah sampai ke Rawang...’’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment