Tuesday, April 8, 2008
PADAH BN MENGATA BLOG BUKAN-BUKAN
AMAT sukar bagi sesetengah pihak untuk menerima hakikat bahawa laman blog memainkan peranan sangat besar dalam menentukan keputusan pilihan raya umum lalu terutama di bandar-bandar besar. Bagi Barisan Nasional (BN) tentulah lebih terkejut apabila kemudahan teknologi Internet yang mula dimajukannya pada era 1990an menerusi projek Koridor Raya Multimedia (MSC), telah digunakan pembangkang sepenuhnya ketika BN sendiri tidak begitu mengendahkan. Bayangkan, pembangkang mempunyai 7,500 blog untuk berkempen secara atas talian dengan pengundi, sedangkan BN mempunyai laman blog terlalu sedikit meskipun ahlinya dikatakan melebihi tiga juta orang. Tidak sukar untuk memahami mengapa BN tidak ambil kisah tentang kepentingan Internet dan blog untuk berkempen kerana ia masih bergantung kepada medium kempen secara tradisi melalui media massa cetak dan elektronik rasmi, ceramah-ceramah dan lain-lain. Menurut Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah, kajian mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog dan di Malaysia, terdapat 500,000 laman blog yang dikendalikan pelbagai pihak dengan pelbagai tujuan. Pemilik-pemilik blog ini berinteraksi sesama sendiri dan laman blog masing-masing boleh dilayari di rumah, di pejabat, di kafe siber, panggung wayang, telefon bimbit, kereta, bas dan sebagainya. Pelbagai maklumat segar mengenai apa sahaja terutama dakwaan penyelewengan terhadap kerajaan mahupun pembangkang boleh tersebar dengan pantas sekali mereka tidak perlu berpanas dan berhujan atau perlu membayar wang untuk mendapat maklumat kerana maklumat di hujung jari. Dipendekkan kata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Internet merupakan salah satu medium baru berkempen di negara ini pada masa akan datang dengan kemunculan masyarakat kelas menengah yang tidak lagi bergantung kepada sumber-sumber tradisional untuk mendapatkan maklumat. Mujurlah beberapa pemimpin BN kini memandang positif terhadap peranan blog misalnya Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan dengan bloggers untuk bertukar-tukar pendapat. Selain itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo turut memiliki blognya sendiri untuk saling berinteraksi dengan rakyat. Meskipun baru beberapa hari muncul di Internet, laman blog Dr. Khir mendapat hit yang begitu tinggi sekali malah orang ramai yang secara terbuka ada yang memuji, mengutuk dan ada yang memberi pendapat bernas. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut tidak ketinggalan memiliki laman blog malah menyeru semua wakil rakyat supaya memiliki laman blog sendiri. Bagi mereka yang tidak biasa berinteraksi dalam laman Internet, pengalaman memiliki blog sendiri mungkin mengejutkan kerana pelbagai pihak tanpa mengira kaum dan status akan memberi pendapat yang pelbagai. Dalam hubungan ini, jika dilihat secara mikro, setiap wakil rakyat sememangnya perlu memiliki laman blog kerana ia memudahkan pengundi untuk menyalurkan maklumat mengenai masalah di sesuatu kawasan dengan cepat sekali gus membolehkan wakil rakyat memberikan reaksi dengan pantas. Ia juga memainkan peranan sebagai check and balance terhadap tindak-tanduk setiap wakil rakyat. Ini kerana sebarang penyelewengan wakil rakyat boleh sahaja disalurkan ke laman blog sesiapa sahaja dalam masa yang begitu singkat. Dengan cara ini ia mampu mengekang wakil rakyat daripada terus menyalahgunakan kuasa kerana sebarang penyelewengan dengan mudahkan `disalurkan' ke Internet untuk tatapan umum. Laman blog juga boleh digunakan oleh setiap wakil rakyat untuk memaklumkan kepada pengundinya mengenai langkah-langkah yang telah dan sedang diambil untuk memajukan kawasan masing-masing. Secara makronya pula, dengan adanya laman blog - melibatkan semua wakil rakyat tanpa mengira parti, ia akhirnya akan mencetuskan satu keadaan semua wakil rakyat perlu melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan sejujur-jujurnya. Sesungguhnya memang tidak ada ruang lagi bagi semua wakil rakyat tidak kira dari parti pemerintah mahupun pembangkang untuk memandang mudah akan peranan Internet dan laman blog. Percayalah anda akan ketinggalan dalam kempen-kempen akan datang jika bersikap negatif terhadap peranan Internet dan laman blog. Ini kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang, keberkesanan Internet dan laman blog akan mendapat nilai tambah baru berikutan kemunculan Televisyen Protokol Internet (IPTV). Sesetengah wakil rakyat mungkin sukar untuk mempercayai bahawa seluruh kehidupan kita baik di rumah mahupun di hotel atau di mana sahaja bakal berpusat pada IPTV. Ia merupakan televisyen generasi baru, berkemampuan memaparkan gabungan data, suara dan video yang dihantar menggunakan rangkaian jalur lebar gentian optik berkelajuan cahaya, bukan lagi jalur lebar diperbuat daripada tembaga. Dengan adanya IPTV di rumah, anda boleh menonton filem terkini secara muat turun dari Internet, melanggan filem, menelefon rakan, menerima panggilan, menghantar e-mel, mengakses maklumat dari Internet – sebutlah apa sahaja, dengan menggunakan alat kawalan jauh sambil menghirup kopi pekat. Jika ada IPTV, anda mungkin boleh menonton siaran langsung Sukan Olimpik di Beijing, China pada Ogos ini sambil membayar bil telefon bimbit, bil elektrik atau menerima panggilan telefon daripada kawan-kawan atau saudara-mara atau membaca akhbar arus perdana melalui TV yang sama. Jika anda kini perlu ke kaunter bank untuk membayar bil atau mengakses Internet di komputer untuk melakukan perkara yang sama atau sedang berbaris panjang di hadapan mesin teller automatik (ATM) untuk membayar bil kereta dan rumah, ia tidak lagi begitu jika anda memiliki IPTV di rumah. Dan sudah pastinya pemilik laman blog sedia ada akan membeli IPTV pada masa depan kerana mereka tidak perlu berinteraksi menggunakan komputer lagi kerana segala-galanya boleh dilakukan di televisyen sahaja. Dipendekkan kata bukan mustahil satu hari nanti semua kempen dalam bentuk ceramah, propaganda melalui media cetak dan elektronik sudah tidak lagi berkesan untuk mempengaruhi pengundi baru yang mempunyai medium baru yang lebih canggih untuk mendapatkan maklumat. Sebenarnya, kesemua syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi gergasi di seluruh dunia termasuk Alcatel yang mencatatkan jualan 13.1 bilion euro pada 2005, beroperasi di lebih 130 negara serta memiliki 58,000 pekerja kini, berlumba-lumba menyediakan kemudahan tersebut. Presiden Alcatel Asia Pasifik, Christian Reinaudo menganggarkan pengguna IPTV yang kini berjumlah 2.6 juta orang bakal meningkat kepada 100 juta di seluruh dunia pada 2010. Pihaknya juga menjangkakan jumlah pengguna IPTV di rantau Asia Pasifik akan meningkat daripada 900,000 kepada 16.5 juta pada 2010. Secara ringkasnya, menurut beliau, percantuman dan transformasi dalam industri telekomunikasi, pengkomputeran dan penyiaran sedang berlaku dengan hebat serta tidak dapat dielakkan sama sekali. Reinaudo menjelaskan, Malaysia termasuk dalam senarai lima negara di Asia yang mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam tempoh beberapa tahun akan datang. habis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment