SAMSOR JUNET
(Majlis ini berlangsung tiga hari di Pulau Tioman, entah berapa banyak kerajaan bayar pada Berjaya untuk adakan mesyuarat ini saya tak tahu lah. Kalau tak ada function tak bergerak resort ini. Tetapi satu perkara saya lihat positif mat salleh sangat gembira menikmati hidangan tempatan terutama teh tarik, joget lambak, dan macam-macam lagi pada ketika malam itu hujan lebat)
BAGI sesetengah orang patriotisme hanya mengalir dalam diri ketika mendengar lagu Negara Ku berkumandang di udara atau semasa melihat perbarisan kawat tentera atau ketika mendengar pidato berapi-api pemimpin supaya mempertahankan negara.
Ada pula di kalangan masyarakat kita yang langsung gagal untuk menghayati patriotisme apatah lagi menterjemahkannya dalam bentuk kehidupan seharian kerana tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan sekarang.
Tetapi tidak pula dinafikan, banyak daripada kita mampu menghayati dan menterjemahkan semangat ini dalam konteks yang luas baik di rumah, di pejabat, ketika mencari nafkah di hutan, di laut mahupun ketika memandu pesawat atau ketika bercuti di sebuah pulau peranginan.
Ia bukan setakat mengibarkan bendera Jalur Gemilang kerana lebih daripada itu apa juga yang kita lakukan dalam kehidupan di sebuah negara bernama Malaysia, kita mesti melakukannya demi negara.
Inilah yang ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Kebangsaan di Berjaya Tioman Beach Resort, Pulau Tioman baru-baru ini.
Pada sidang akhbarnya, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan itu berkata, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia terutama di Kelantan dan Terengganu tidak tahu menghayati erti kemerdekaan.
Katanya, parti-parti politik di kedua-dua negeri itu sibuk mengibarkan bendera parti masing-masing ketika rakyat seluruh negara sepatutnya mengibarkan Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan negara tidak lama lagi.
``Mereka memasang bendera parti tidak kena tempat dan waktu, macam budak-budak. Bila satu parti naik bendera, parti yang satu lagi juga nak naikkan bendera mereka. Kalau begini sampai bila pun tak habis.
``Sepatutnya ketika Bulan Kemerdekaan, kita semua ketepikanlah semangat berparti-parti ini. Patutnya masa ini kita turunkan bendera parti dan kita naikkan bendera Jalur Gemilang, sebulan sahaja bukannya lama,'' tegas beliau.
Abdul Kadir melihat masalah pengibaran bendera Jalur Gemilang itu dalam konteks industri pelancongan yang menurutnya, jika pelancong bertanya mengenainya, apa yang beliau hendak jawab.
``Betullah ini negara demokrasi, kita kibarlah bendera apa yang kita suka. Tetapi kita kena ingatlah ini bukan musim pemimpin datang, bukan musim pilihan raya, ini Bulan Kemerdekaan, jadi kita melakukan sesuatu itu kena pada tempatnya, bila pelancong tanya, apa saya nak jawab, `' jelasnya.
Mujurlah Pulau Tioman yang menjadi destinasi mesyuarat dua bulan sekali itu berjaya menawarkan semangat patriotisme yang tinggi selari dengan namanya yang terkenal sebagai salah sebuah 10 tercantik di dunia.
Dari jeti Tanjung Gemok, Rompin, semangat ini sudah terserlah apabila bot Salang yang membawa lebih 80 penumpang satu-satu masa begitu megah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan apabila sampai di resort, bendera Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana kawasan sekitar resort.
Lebih membanggakan, persembahan kebudayaan pada dua kali majlis makan malam di resort berkenaan sangat menarik kerana ia mencerminkan bahawa penari-penari ini pun tahu bila masa untuk mereka mempamerkan kecintaan pada negara.
Persembahan malam pertama dibawakan oleh Briged Seni Majlis Perbandaran Kuantan manakala pada malam kedua pula dibawa oleh Yayasan Pahang. Kedua-duanya berjaya mempersembahkan berpuluh-puluh tarian kebudayaan secara medley tanpa henti selama sejam.
Ramai pelancong mengambil kesempatan merakamkan tarian berkenaan dengan kamera video masing-masing dari mula sampai habis. Anak-anak kecil, bahkan ibu dan bapa mereka pula belajar menarik mengikut rentak secara spontan. Yang duduk, sesetengahnya memberi penghormatan berdiri apabila persembahan selesai.
``Saya berasa cukup bangga dengan persembahan nombor satu ini, pakaian nombor satu, tarian nombor satu, penari-penarinya pun comel, inilah yang kita mahukan untuk kita bawa ke luar negara.
``Saya percaya jika kita berusaha dan terus berusaha untuk meningkatkan industri pelancongan negara secara berterusan, akhirnya kita akan berjaya juga tetapi memerlukan kerjasama semua pihak,'' kata Abdul Kadir mengenai persembahan berkenaan.
Tidak hairanlah apabila selepas itu Abdul Kadir berkata, kumpulan MPK akan dibawa mengadakan persembahan di Jepun pada Oktober atau November ini manakala kumpulan Yayasan Pahang dibawa ke China tidak lama lagi.
Tetapi bagi Abdul Kadir, banyak perkara mesti dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong asing pada masa depandengan kita sendiri harus mempamerkan produk pelancongan yang tulen dan baginya kerajaan telah melakukan pelbagai cara setakat ini.
Katanya, pada masa ini kerajaan akan memastikan jumlah kedatangan pelancong di negara ini memuaskan kerana setakat Jun tahun ini, jumlah kedatangan pelancong adalah 7.2 juta orang iaitu meningkat sebanyak 44.1 peratus.
Jumlah ini katanya, telah melepasi angka satu juta orang pelancong setiap bulan ke Malaysia selama tujuh bulan berturut-turut tidak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, benua Asia kekal sebagai penyumbang utama ketibaan merangkumi 84.3 peratus diikuti Eropah 5.9 peratus, Amerika 2.8 peratus, Oceania 2.4 peratus dan Afrika 1.4 peratus.
Katanya, bagi pasaran Asia, selain Singapura sebagai pelanggan tradisi, pasaran Thailand, Indonesia, Brunei, Taiwan, Hong Kong menunjukkan peningkatan walaupun pasaran China, Jepun dan Korea Selatan merosot.
``Jumlah kedatangan pelancong tahun lepas begitu tinggi, saya takut kita tidak dapat pertahankannya tahun ini dan kita berusaha untuk mempertahankan jumlah sedia ada,'' jelasnya.
Justeru selepas mesyuarat berkenaan beliau melontarkan idea bahawa kerajaan sedang memikirkan untuk mengadakan projek-projek pelancongan mega bagi menarik kedatangan pelancong.
Menurutnya, ia termasuk kemungkinan membina kereta kabel yang menghubungkan Menara Kuala Lumpur ke Menara Berkembar seterusnya ke Awana Resort di Genting Highlands serta membina projek yang sama dari Kota Kinabalu ke kawasan berdekatan Gunung Kinabalu.
``Kita juga mungkin memerlukan lebih banyak taman-taman tema yang besar, Universal Studio yang apa sahaja yang boleh menarik kedatangan pelancong,'' katanya.
Katanya, pada September ini kerajaan akan melancarkan program Mesra Malaysia, mengajak rakyat Malaysia supaya mesra dengan pelancong dan melakukan apa sahaja yang bersesuaian dengan adat dan budaya negara ini bagi menarik kedatangan pelancong.
``Program ini tidak terhad selama sebulan kerana ia akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk menanam semangat di kalangan rakyat supaya sama-sama terlibat dalam industri pelancongan negara,'' kata beliau.
Sebenarnya di sebalik pelbagai rancangan dan idea untuk memajukan sektor pelancongan negara ini, isu mengenai produk, kemudahan dan perkhidmatan pelancongan berkualiti masih berterusan dan mesti diberi perhatian segera agar tidak menjejaskan imej negara.
Produk-produk pelancongan di negara ini belum mencapai tahap yang sangat memuaskan hati serta belum dapat menonjolkan identiti Malaysia berasaskan tema lagu Malaysia Truly Asia yang sangat indah.
Isu ini ada dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan kerana ia mencerminkan sejauh mana semangat patriotisme dalam konteks kita untuk memajukan industri pelancongan.
Ia termasuklah kegagalan beberapa pihak menyelenggara keindahan dan kebersihan kawasan dan tempat yang menjadi tumpuan ramai termasuk tandas yang kotor di gerai-gerai makan, stesen minyak dan perhentian atau terminal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment