Wednesday, March 4, 2009
BILA ORANG MELAYU LUPA DIRI
BIOGRAFI Dato' Onn Hidup Melayu tulisan Anwar Abdullah disebutkan jasa beliau yang tidak dilupai zaman ialah kejayaannya menyatupadukan seluruh umat Melayu ketika Tanah Melayu dilanda tsunami politik - Malayan Union. Ia kisah perjuangan hebat pada 1946 yang akhirnya menyaksikan Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan sejak itu negara berkembang pesat sehingga menjadi kebanggaan kita semua. Kemuncaknya, sama ada anda bersetuju atau tidak ialah kejayaan negara menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 yang cukup hebat dan meriah. Malang sekali entah di mana silapnya, orang Melayu yang rata-rata sudah hidup senang hasil daripada perjuangan datuk nenek dulu tiba-tiba langsung tidak memikirkan falsafah di sebalik pembentukan Tanah Melayu. Orang Melayu kini suka mengambil tindakan dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya dalam jangka panjang. Dasar Pengajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI) umpamanya, walaupun ia bagus tetapi pada masa yang sama ia menyebabkan kaum lain memperlekehkan orang Melayu yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa sendiri. Sungguh malang anak kita kerana sejak kecil lagi dihambat masalah bahasa sedangkan mereka begitu dahaga untuk menuntut ilmu dalam negara sendiri yang bahasa rasminya Bahasa Melayu. Dalam kehidupan bermasyarakat pula, sikap sebahagian masyarakat kelas Melayu menengah sudah jauh berubah malah ada di antara mereka yang tidak mensyukuri nikmat. Tindakan mereka sejak kebelakangan ini sangat merisaukan kerana ia seolah-olah mahu negara ini dijajah semula oleh orang lain yang tinggal dalam negara sendiri. Mereka bercakap mengenai meritokrasi dan kesaksamaan sosial bagi semua kaum seolah-olah mereka memiliki ekuiti yang banyak. Tidak sedarkah mereka bahawa ekuiti ekonomi yang dimiliki hanya 19 peratus berbanding rakan-rakan mereka telah memiliki 81 peratus? Kelmarin Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor, Dr. Boo Cheng Hau berkata, amalan bumiputeraisme atau pemikiran membantu golongan bumiputera yang diamalkan di negeri itu menyamai ideologi aparteid. Di Parlimen Pengerusi DAP, Karpal Singh menghina Pemuda UMNO sebagai `celaka', tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini semua hasil dasar keterbukaan demokrasi sudah tidak terkawal lagi yang membolehkan orang bercakap apa sahaja. Dan adakah golongan itu yang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas mahu berkawan? Kita mungkin berasa kecewa dengan sikap sebahagian orang Melayu yang menentang kerajaan sekarang. Tetapi percayalah jika kerajaan mampu membuat penyesuaian dengan memenuhi tuntutan mereka yang sesetengahnya memang betul, tidak mustahil semangat mereka untuk terus menentang kerajaan, turut cair. Sekadar pertanyaan bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN), apakah tindakan yang telah diambil bagi memastikan pakatan pembangkang dapat dilumpuhkan sebelum pilihan raya umum ke-13? Sudah dilaksanakan atau tidak langkah-langkah penjenamaan semula UMNO dan BN dalam tempoh setahun ini? Justeru kita berharap peralihan kuasa yang akan berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO bulan ini turut membawa semangat Dato’ Onn untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air seikhlas hati. Kita benar-benar berharap cahaya kegembiraan menyinari kembali di tanah air ini sebagaimana yang pernah kita nikmati sebelum ini. habis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment